Pengaplikasian Pendekatan Pembelajaran Bahasa.
Pendekatan pembelajaran bahasa penting untuk mempastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan pendekatan perlu dilakukan dengan teliti agar pengajaran dan pembelajaran dapat mencapai objektif seperti yang dirancang. Di antara pendekatan yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah:
• Pembelajaran Berasaskan Aktiviti
• Pembelajaran Berasaskan Situasional/Senario
• Pembelajaran Berasaskan Permainan
Pembelajaran berasaskan aktiviti ini amat sesuai dalam pembelajaran bahasa kerana murid akan terlibat secara langsung iaitu belajar secara fizikal dan mental melalui aktiviti yang dijalankan secara sistematik.
Pembelajaran berasaskan situasional memerlukan penggunaan objek secara konkrit, gambar-gambar dan bahan-bahan maujud yang disertai aksi-aksi yang boleh membantu pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Pendekatan berasaskan permainan pula akan ‘menghidupkan’ proses pengajaran dan pembelajaran bahasa melalui pelbagai aktiviti permainan. Dengan demikian proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan berkesan.
1. Pembelajaran Berasaskan Aktiviti
• Pembelajaran berasaskan aktiviti ini sangat sesuai dalam konteks pembelajaran bahasa kerana murid-murid mempelajari bahasa melalui aktiviti-aktiviti yang terancang secara sistematik.
• Melalui pendekatan ini murid-murid bergerak aktif secara fizikal dan mental bagi tujuan melaksanakan tugasan mereka dalam aktiviti tertentu. Dengan demikian minat dan kecenderungan murid sentiasa terarah untuk terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran guru.
• Pembelajaran berasaskan aktiviti boleh meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran guru bahasa Melayu di sekolah-sekolah.
2. Pembelajaran Berasaskan Situasional
• Pendekatan ini mementingkan penggunaan objek secara konkrit, gambar-gambar dan bahan-bahan maujud serta gerakan tingkah laku yang boleh membantu menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa.
• Guru hanya bertindak sebagai model dan menyediakan latar situasi yang dapat menciptakan struktur bahasa sasaran dan kemudian mengemukakan contoh-contoh untuk diikuti secara berulang untuk mengukuhkan pembelajaran.
3. Pembelajaran Berasaskan Permainan
• Dalam pendekatan ini pengajaran dan pembelajaran seolah-olah hidup dengan permainan-permainan yang disediakan. Murid-murid akan mengalami sendiri aktiviti permainan yang dilaksanakan.
• Murid-murid akan mudah memahami apa yang guru ajarkan melalui permainan yang disediakan dengan menarik dan berkesan. Murid-murid dapat berkomunikasi dengan berkesan dan melahirkan perasaan dengan menggunakan bahasa dan aksi.