Nature

KONSEP 5P

 Penekanan Konsep 5P

konsep 5p
PENEKANAN KONSEP 5P

Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menekankan konsep penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

1.  Penggabung jalinan

Penggabung jalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak. Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran dapat digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam hasil pembelajaran atau kemahiran daripada mata pelajaran lain.

2. Penyerapan

Dalam pengajaran Bahasa Melayu, unsur ilmu, nilai dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin dalam pelbagai mata pelajaran.

3. Pengayaan

Program pengayaan perlu diberikan penekanan dalam Kurikulum Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang
telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

4. Pemulihan

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.

5. Penilaian

Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan, dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid.

Terima kasih
Jom ke Channel Youtube Pak Malau
www.youtube.com/pakmalau

Previous Post Next Post