Nature

PUISI MODEN- SAJAK

 

PUISI MODEN SAJAK

PUISI MODEN- SAJAK

Definisi Sajak

Sajak ialah genre puisi Melayu moden dan merupakan ciptaan hasil kesenian yang dihasilkan secara :-
  • bebas dan tidak terikat pada pola-pola tertentu untuk menyampaikan mesej tentang sesuatu.
  • karangan yang berangkap.
  • mementingkan aspek pemilihan kata
Muhamad Hj. Salleh (1988)
Sajak merupakan bentuk penulisan moden yang lebih bebas dan tidak terikat dari segi penyampaian rangkapnya dan penyalinan daripada bentuk-bentuk tradisional seperti pantun dan syair  adalah agak berbeza yang membawa suasana serta pandangan hidup yang lebih moden.

Struktur Sajak
  • Tema
Perkara asas yang menjadi perbincangan utama penulis dan apa yang cuba diperkatakan atau inti mesej yang hendak disampaikan.
Contoh sajak tema
Tema Kemanusiaan:
  • Tema kemanusiaan bermaksud menunjukkan betapa tingginya martabat manusia dan bermaksud menyakinkan pembaca bahawa setiap manusia memiliki harkat (martabat) yang sama. 
  • Perbezaan kekayaan, pangkat dan kedudukan seseorang, tidak boleh menjadi sebab adanya pembezaan perlakuan terhadap kemanusiaan seseorang. 
  • Para penyair memiliki kepekaan perasaan yang begitu dalam memperjuangkan tema kemanusiaan.
Tema Kebangsaan
  • Tema patriotisme dapat meningkatkan perasaan cinta pada bangsa dan tanah air. 
  • Banyak puisi yang melukiskan perjuangan merebut kemerdekaan dan mengisahkan riwayat-riwayat pahlawan yang berjuang melawan penjajah. 
  • Tema patriot juga dapat diwujudkan dalam bentuk usaha penyair membina kesatuan bangsa atau membina rasa kenasionalan.
Tema Kedaulatan Rakyat
  • Penyair begitu sensitif perasaannya bagi memperjuangkan kedaulatan rakyat dan menentang sikap kesewenang-wenangan pihak yang berkuasa. 
  • Tema kedaulatan rakyat dan tema keadilan sosial biasanya kita dapati pada puisi protes. 
  • Dalam puisi yang bertemakan kedaulatan rakyat, yang kuat protes terhadap pihak yang berkuasa yang tidak mendengar jeritan rakyat atau dapat juga berupa kritik terhadap sikap otoritet penguasa. 
  • Sedangkan dalam puisi yang bertema keadilan sosial, yang ditonjolkan adalah kepincangan sosial.
  • Persoalan
Perkara-perkara sampingan yang masih menjadi fokus perbincangan kepada isu-isu yang akan ditulis oleh pengarang.
Melibatkan isi sampingan yang berhubung dengan tema sesuatu karya.
  • Mesej
Perkara-perkara yang ingin dijadikan iktibar dan pengajaran yang boleh dinilai melalui penceritaan yang dibuat oleh pengarang.
Disampaikan secara tersirat dan mengajar audien yang terlibat untuk berfikir dengan lebih mendalam.

  • Gaya Bahasa
Cara seseorang penulis menggunakan daya kreativitinya untuk menyampaikan fikirannya dengan menggunakan ayat-ayat tersendiri.
Terdapat penulis yang menghasilkan sajak menggunakan bahasa yang mudah difahami dan ada juga yang menggunakan bahasa yang bombastik.

Jenis-jenis Sajak

Bentuk : Bebas, terikat/konvensional, separuh terikat

Aliran : Romantis, Eksistensialisme, Realisme, Patriotisme, Melankolik, Protes

Bentuk Bebas
  • Tidak memberikan perhatian kepada ciri-ciri penulisan puisi tradisional.
  • Bentuk rima tidak lagi mengikut rima pantun atau syair (a,b,a,b atau a,a,a,a).
  • Mempunyai corak pemikiran yang tersendiri dan tidak terpengaruh dengan pola-pola tertentu.
Contoh Sajak Bebas

‘Anak Laut’
Segar angin laut
mengembalikan rindunya pada kolek
bagai buih kecil terapung di air
menjaring sedikit rezeki
dan sisik ikan
kulit ketam
kepala sotong
dan
kaki udang yang bersimpati 
seperti kolek terdampar di pasir
menampakkan urat jalur-jalur tua
anak laut itu sudah dapat menerka
langkahnya hampir tiba
pada muara Pencipta

Bentuk Terikat
  • Terikat dengan pola-pola khusus seperti pembentukan rima akhir, jumlah baris dalam setiap rangkap, jumlah perkataan dan suku kata dalam setiap baris dan rangkap.
  • Selain itu, sajak ini juga terikat kepada ciri-ciri khusus, iaitu bagi setiap rangkap sajak yang dicipta mengandungi dua baris, tiga baris dan empat baris sajak dalam satu rangkap.
  • Pengaruh yang boleh dilihat ialah rima hujungnya (a,b,a,b), mempunyai empat baris dalam satu rangkap dan penggunaan suku katanya antara 8 – 12 suku kata.
Contoh sajak: 
Mereka memisah kita
Pasport visa wilayah segala tembok nama
Mereka merompak kita dengan undang-undangnya
Peluru dikirim dalam bungkusan dollarnya

Usman Awang (1970)

Bentuk Separuh Terikat

Sajak yang ada antara rangkapnya yang terikat dan ada yang bebas daripada ikatan puisi tradisional.

Aliran Sajak

Romantis: Berkaitan dengan kecintaan terhadap sesuatu (manusia / alam sekeliling).
Eksistensialisme : Memperihalkan sesuatu yang benar-benar berlaku dan menceritakan pengalaman yang dilalui oleh manusia.
Realisme : Mempamerkan keadaan yang sebenar dan setiap apa yang dialami, disaksikan dan dilalui oleh penulis dizahirkan dalam bait-bait ayat.
Patriotisme : Dilahirkan atas perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air dan tokoh-tokoh negarawan yang berjasa kepada negara.
Melankolik : Dilahirkan melalui perasaan hiba, sedih, duka, sayu dan pilu penulis terhadap isu yang ingin disampaikan.
Protes : Menggunakan perkataan yang menunjukkan rasa marah dan geram terhadap sesuatu isu.

Fungsi Sajak
  • Sajak yang baik mestilah mengemukakan kekuatan subjek, kebaharuan persoalan atau menjana semula subjek yang berpotensi menyumbang kepada nilai kebaikan dan kemanusiaan.
  • Mampu mengaktifkan taakulan pembaca dan menawarkan pengalaman estetik dengan nilai keindahan yang memukau.
  • Dapat memperkaya bahasa dan meluaskan skop tema dan persoalan.
  • Meninggalkan kesan intelektual dan pemikiran yang baik kepada pembaca
  • Dari segi bentuk sajak mestilah keluar daripada konvensi tradisional di mana susunan kata, baris dan perenggannya bebas mengikut cita rasa penyajak sendiri.
  • Mesej yang ingin disampaikan juga penuh dengan unsur tersirat dan teka-teki yang menimbulkan kontroversi dalam pemikiran pembaca.
Gaya Bahasa
  • Sajak yang ditulis oleh penulis mempunyai ciri-ciri gaya bahasa yang tersendiri. 
  • Gaya bahasa menjelaskan gaya seseorang menyampaikan mesej kepada khalayak.
  • Terdapat penggunaan bahasa dalam sajak, contohnya bahasa pengulangan dan bahasa perbandingan.
Bahasa pengulangan
  • Penulis menggunakan kata-kata yang mudah yang dilakukan secara berulang-ulang untuk menegaskan perkara yang disampaikan. 
  • Perkara ini menunjukkan penulis dipengaruhi oleh corak penulisan yang mementingkan keberkesanan kata-kata yang difikirkan berkali-kali oleh mereka. 
  • Bahasa pengulangan terbahagi kepada asonansi, anafora, responsif, epifora, penggunaan kata ganda, dan pengulangan frasa, rangkai kata, ayat dan baris.
Asonansi
Perulangan bunyi vokal yang sama atau yang hampir sama.  Berlaku melalui kata yang berderet-deret dan berurutan. Contoh : rokok dan tokoh, secupak dan sesukat.

Aliterasi
Pengulangan yang berlaku dalam ayat, iaitu pengulangan bunyi atau huruf pertama pada perkataan-perkataan yang berurutan dalam suatu baris ayat.

Anafora
Pengulangan yang berlaku pada kata atau awal frasa pada peringkat awal perkataan yang berurutan atau berturut-turut untuk mendapatkan kesan penegasan dalam ayat

Responsif
Bahasa atau perkataan yang digunakan untuk menunjukkan reaksi dan tindak balas terhadap sesuatu mesej yang hendak disampaikan.

Epifora
Pengulangan bunyi pada akhir kata atau struktur ayat bagi rangkap atau ayat yang berturutan. 
Tujuan : mendapatkan kesan stilistik dalam rangkap syair.

Pengulangan Kata Ganda
Dilahirkan secara berulangan sebahagian ataupun keseluruhan perkataan dalam ayat. 
Tujuan : memberi keharmonian dalam ayat disamping menerangkan sesuatu dengan lebih mendalam.

Pengulangan Frasa
Tujuan: beri penegasan kepada sesuatu perkara yang hendak disampaikan.

Bahasa Perbandingan
  • Digunakan untuk membandingkan sesuatu isu atau perkara, dan tujuan penulisan dalam sajak.
  • Bahasa perbandingan ini terbahagi kepada beberapa bahagian, iaitu metafora, personafikasi, simili, hiperbola, dan perbandingan langsung.
Personafikasi
Merujuk bahasa yang memberikan sifat manusia kepada sesuatu benda, keadaan dan suasana

Metafora
Bahasa kiasan yang tidak menggunakan kata bandingan.

Simili
Kiasan yang membandingkan dua benda yang berbeza tetapi ada persamaan.

Hiperbola
Perbandingan yang tidak logik atau melampau.

Terima kasih
Jom ke Channel Youtube Pak Malau
www.youtube.com/pakmalau

Previous Post Next Post