Nature

PUISI TRADISIONAL - PANTUN & SELOKA

 PUISI TRADISIONAL - PANTUN  & SELOKA

PUISI TRADISIONAL - PANTUN DAN SELOKA

PANTUN

  • Karangan berangkap milik masyarakat Melayu dan alat pengucapan masyarakat sejak dahulu.
  • Mengandungi maksud yang ingin disampaikan selain mengungkapkan perasaan dengan bahasa yang halus dan indah. 

DEFINISI PANTUN
  • (Kamus Dewan,2007) Sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap. 
  • Dua baris sebagai pembayang dan dua baris lagi sebagai maksudnya.
  • Muhammad Hj. Salleh, (2000) asal perkataan pantun berdasarkan kata toen, tuntun, tonton, atuntun, matuntun, panton, pantun. 
JENIS PANTUN

Pantun terbahagi kepada lima jenis berdasarkan bentuk
  1. Pantun dua kerat
  2. Pantun empat kerat
  3. Pantun enam kerat
  4. Pantun lapan kerat
  5. Pantun dua belas kerat
CONTOH PANTUN

Pantun Dua Kerat
Gendang gendut tali kecapi, Kenyang perut suka hati. 

Pantun Empat Kerat
Pulau Pandan jauh ke tengah, 
Gunung Daik bercabang tiga, 
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga. 

Pantun Enam Kerat
Belayar perahu membawa kuini,
Ke Tanjung Jati mengadap Paduka,
Bunga kemboja sembah berkarang;
Kalaulah tahu jadi begini,
Tidaklah hati dibawa berduka,
Ku pilih saja lain orang.

Pantun Lapan Kerat
Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Bekejar-kejaran anak rusa,
Tampak dari tanah seberang;
Bersyukur aku kepada Tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kasihan orang.

Pantun Dua Belas Kerat
Rotan sepatah dua patah,
Tarik kerakap batang padi,     
Dibawa sultan dari Judah,       
Padi yang jangan digemparkan,           
Kalau gempar antara gugur,                   
Bila gugur masuk perigi;
Tuan di Mekah di Madinah,  
Naik akhirat batu haji,       
Tegak berdiri Rasululah,      
Kami yang jangan dilupakan,              
Kalau lupa antara tidur,             
Dalam tidur menjadi mimpi.

JENIS PANTUN
Pantun terbahagi kepada beberapa jenis berdasarkan isi(tema dan persoalan).
  1. Pantun adat dan resam manusia
  2. Pantun agama dan kepercayaan
  3. Pantun jenaka dan permainan
  4. Pantun kembara dan perantauan
  5. Pantun teka-teki
  6. Pantun budi
  7. Pantun percintaan dan perkahwinan
  8. Pantun kepahlawanan
  9. Pantun pendidikan dan nasihat
  10. Pantun peribahasa dan perbilangan
  11. Pantun kias dan ibarat
Pantun Nasihat
Pokok kemumu daunnya lebar,
Batangnya lembut sedap digulai,
Menuntut ilmu perlulah sabar,
Ajaran guru janganlah lalai.

Pantun Percintaan
Ayam sabung jangan dipaut,
Kalau dipaut kalah laganya,
Asam di gunung ikan di laut, 
Dalam belanga bertemu juga.

Pantun Agama
Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

STRUKTUR PANTUN
  • Pantun mempunyai rangkap-rangkap yang berasingan dan setiap rangkap boleh berdiri sendiri sebagai satu kesatuan idea.
  • Rangkap pantun terbina daripada baris atau kerat yang berpasangan. 
  • Setiap baris mempunyai empat hingga lima patah perkataan dengan suku kata antara lapan hingga dua belas.
  • Skema rima hujung baris yang tetap iaitu a-b, a-b. namun, ada juga skema rima yang sama a-a, a-a.
  • Struktur pantun terdiri daripada dua unit iaitu pembayang(kiasan) dan maksud (inti persoalan).
FUNGSI PANTUN
  • Pantun Melayu terdiri daripada beberapa jenis pantun seperti pantun adat, agama, nasihat, jenaka, budi dan teka-teki.
  • Dalam masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak  komunikasi berseni yang digunakan di tempat yang tertentu, dalam upacara yang tertentu atau untuk menyampaikan sesuatu dalam maksud termasuk kiasan atau sindiran. 
  • Penggunaan pantun dalam menyampaikan sindiran bertujuan agar yang kena sindir atau yang kena nasihat itu tidak marah, tetapi sebaliknya mempunyai azam untuk membaiki perbuatan dan perangai yang tidak disukai. 
Fungsi lain - mendidik, meluahkan rasa kasih sayang dan rindu, penghargaan, adat istiadat, sindiran atau tempelak, menguji minda, hiburan.

SELOKA
  • Puisi tradisional Melayu sejajar dengan gurindam, pantun dan syair.
  • Dikatakan berasal daripada kesusasteraan Hindu klasik yang didapati dalam epik Mahabharata dan Ramayana.
  • Membawa unsur mengejek,menyindir,menggiat,mengusik dan bergurau senda.
  • Dalam empat baris atau lebih
DEFINISI SELOKA
  • Berasal daripada perkataan Sanskrit “Shloka”.
  • Iladam (2005): karangan yang berbaris-baris yang tidak tentu bilangan barisnya. Setiap barisnya menceritakan suatu hal yang pada hakikatnya menyindir akan tajuk yang dibicarakan itu.
  • Kamus Dewan Edisi Keempat (2007): sejenis puisi yang mengandungi ajaran iaitu sindiran, jenaka dan lain-lain.
  • Bahasa Melayu: berseloroh, berjenaka atau menyindir.
JENIS SELOKA
1. Bebas
2. Terikat

Seloka Bentuk Bebas

Bebas dari segi - rangkap, jumlah baris, jumlah perkataan, rima
Baris yang berurutan dan isinya jenaka yang mengandungi sindiran.

Contoh Seloka Pak Kaduk
Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Aduhai malang Pak Kaduk.

Seloka Bentuk Terikat

Boleh wujud dalam bentuk pantun atau syair
Unsur sindiran dan jenaka tetap terjelma walaupun dalam bentuk terikat

Seloka bentuk syair
Wajah tampan tiada tolok,
Cakap pandai kelok belok,
Senyum murah gaya elok,
Poket kosong penuh habuk.
      (Iladan, 2005)

Seloka bentuk pantun
Jalan-jalan sepanjang jalan,
singgah-menyinggah di pagar orang,
Pura-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.

                    (Hyookas dalam Harun Mat Piah, 1989)

STRUKTUR SELOKA
  • Dalam bentuk karangan berangkap.
  • Ada yang bersifat bebas dan terdapat juga seloka dalam bentuk terikat.
  • Mengandungi perkataan yang menyindir atau mengejek yang disampaikan dalam bentuk berangkap.
  • Mengandungi baris-baris yang berurutan dipenuhi unsur jenaka atau gurau senda.
  • Digunakan untuk menyindir sambil mendidik.
FUNGSI SELOKA
Alat Kritikan Sosial:
- Mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan individu sasaran.
- Menyindir secara tajam tetapi halus terhadap golongan tertentu dalam masyarakat.

Pengajaran dan Panduan Hidup:
- Perlakuan watak yang terlalu pemurah dan melebihkan orang luar seperti yang terdapat dalam seloka Emak Si Randang memberi pengajaran dan ingatan supaya golongan berkenaan tidak bersikap terlalu pemurah dan membiarkan kaum dagang meraih apa yang mereka mahu.

Alat Untuk Menghibur:
- Seloka juga berperanan sebagai alat hiburan kepada masyarakat
- Unsur jenaka dalam seloka bertujuan menghibur hati

CIRI BAHASA SELOKA
  • Karangan berperangkap yang masih mementingkan rima dan bunyi.
  • Sesuai dengan fungsinya untuk menyindir dan berjenaka, bahasa seloka dipenuhi dengan kata pepatah, bidalan atau perumpamaan.
  • Pemilihan perkataannya mementingkan kesopanan.
  • Walaupun seloka bertujuan menyindir, perkataan yang dipilih tetap kedengaran lembut, berlapis serta berkias namun terasa berbisa kepada orang yang mungkin melakukannya.
  • Kata, frasa, ayat dan cara mengungkapkan sindiran harus diteliti dengan penuh berhemah.
  • Ayat seloka pendek-pendek, namun padat dengan makna yang tersirat.

Terima kasih
Jom ke Channel Youtube Pak Malau
www.youtube.com/pakmalau

Previous Post Next Post